selamat meliwati laman ini

www.xesx.blogspot.com

Sunday, August 02, 2009

ABOLISH ISA

Dibedil gas dan air
20,000 bangkit anti-ISA

| Aug 01, 2009 09:55:48 am


Kira-kira 20,000 orang yang bangkit menentang Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) , telah dibedil dengan hampir 400 das gas pemedih mata dan meriam air berasid. Walaupun pihak polis menyekat hampir semua jalan raya utama ke pusat bandaraya Kuala Lumpur, namun tetap gagal menyekat kemaraan rakyat yang turun ke jalan raya untuk menuntut agar ISA dimansuhkan.

Pertempuran berlaku di beberapa lokasi, misalnya SOGO, Masjid Negara, Masjid Jamek yang menjadi lokasi perhimpunan. Kesemuanya 438 orang ditangkap dalam masa 7 jam. Kemarahan memuncak apabila FRU menembak air meriam di depan bangunan ibu pejabat PAS dan cuba menyerbu ke dalam untuk menangkap pemimpin Pakatan Rakyat.

Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim dalam sidang media mendakwa bahawa rakyat telah berjaya menyampaikan mesej yang jelas untuk menolak akta yang draconian. Malah, Pengerusi Gerakan Mansuhkan ISA, Syed Ibrahim juga mendakwa perhimpunan 100,000 orang ini telah berjaya.

Berikut adalah catatan perkembangan perhimpunan anti-ISA hari ini, setelah kumpulan yang pro-ISA mengumumkan untuk tidak mengadakan perhimpunan pada hari ini.

1735 FRU beredar dari ibu pejabat PAS.

1645 Polis berada di luar ibu pejabat PAS, Jalan Raja Laut. Polis cuba menyerbu masuk dan menangkap pemimpin Pakatan Rakyat. Keadaan menjadi tegang. Walau bagaimanapun, tiada tangkapan dibuat pada akhirnya.

1610 Gas pemedih mata dan meriam air masih ditembak di depan ibu pejabat PAS walaupun perhimpunan sudah diumumkan bersurai.

1545 Pemimpin Pakatan Rakyat mengumumkan perhimpunan bersurai, kemudian mengadakan sidang media di dalam ibu pejabat PAS. Pengerusi Gerakan Mansuhkan ISA, Syed Ibrahim mendakwa perhimpunan 100,000 orang ini telah berjaya.

1520 Naib Presiden PKR, Sivarasa Rasiah ditangkap.

1510 Tian Chua, ahli parlimen Batu melalui twitter mengarahkan supaya orang ramai beralih ke bangunan Pusat PAS. Lim Kit Siang menyindir Ketua Polis Negara tersalah menggunakan bakat beliau untuk menyuraikan perhimpunan. Seandainya bakat yang sama digunakan untuk memerangi jenayah, maka kadar jenayah akan menjadi sifar.

1440 FRU menunggu di depan bangunan United Oversea Bank, Jalan Raja Laut. Gas pemedih mata ditembak ketika orang ramai berada di jarak kira-kira 150 meter. Lebih 60 das dilepaskan, perhimpunan berjaya disuraikan.

1415 FRU bertempur dengan Unit Amal. Orang ramai dari Masjid Jamek dan Masjid Negara kini menuju ke SOGO melalui Jalan Tunku Abdul Rahman.

1410 Di Istana Negara, sebutir gas pemedih terjatuh, menyebabkan polis terpaksa menjauhkan diri.

1407 Di Pasar Seni, 3 orang penyokong ISA memberitahu wartawan bahawa mereka akan menghantar memorandum ke Istana Negara.

1405 Di Istana Negara, FRU mengarahkan wartawan untuk berselindung di belakang trak FRU.

1400 Polis menembak kira-kira 10 das gas pemedih mata untuk menyuraikan hampir 500 orang dari Masjid Jamek.

Di SOGO, kira-kira 500 orang berkumpul melaungkan "Hidup Rakyat."

1340 Polis menyerbu ke dalam SOGO dan menangkap seorang lelaki yang memakai lencana Mansuhkan ISA.

Di Istana Negara, FRU telah bersedia untuk menghadapi orang ramai. Pada mulanya, hanya Jalan Kuching disekat. Namun, jalan yang pergi dan balik di depan Istana Negara telah ditutup sekarang.

1331 Tangkapan di Masjid Negara mencecah 20 orang.

1330 Seorang OKU (orang kurang upaya) ditahan di Masjid Negara, setelah polis mendapati baju "Mansuhkan ISA" dalam bagnya. OKU tersebut enggan ditangkap, mencetus ketegangan apabila polis menolak OKU dan wartawan sehingga terjatuh.

1325 Polis menangkap seorang warga emas yang berumur 70-an tahun, kerana mendapati baju mansuhkan ISA.

1255 Pintu besar SOGO ditutup.

1250 Norlaila Othman, aktivis Gerakan Masuhkan ISA, juga isteri tahanan ISA, Mat Sah Satray telah ditangkap Pertama Kompleks, berdekatan Sogo. Kini di trak FRU ke balai polis Cheras.

Polis mula menyekat Jalan Tuanku Abdul Rahman di depan SOGO. Sementara itu, lokasi perhimpunan Pro-ISA di Padang Merbok kekosongan.

1226 Peguam dari Pusat Bantuan Guaman, Puspawati Rosman yang mengedar risalah di kawasan berhampiran Majid Jamek telah ditahan. Bagaimanapun, Puspawati dibebaskan kemudian setelah polis meneliti kandungan risalah tersebut.

1218 17 tangkapan lagi di kawasan berhampiran Masjid Jamek dan Sogo. Bilangan tangkapan mencecah 103 orang.

1215 13 orang lagi ditangkap di Pasar Seni.

1211 11 orang ditangkap di Bazaar berhampiran Masjid Jamek. Pihak polis memberi arahan untuk menangkap sesiapa yang memakai lencana Mansuhkan ISA.

1200 11 orang ditangkap di Dataran Merdeka. Angka penangkapan melonjak ke sekurang-kurang 62 orang.

1140 Gas pemedih mata ditembak di Dataran Merdeka. Namun demikian, dilaporkan tiada orang awam berhimpun di situ. Ini menyebabkan beberapa anggota polis terpaksa melarikan diri sambil menutup hidung.

1133 Lagi seorang ditangkap di stesen LRT Masjid Jamek.

1130 Lima orang pemuda yang berumur kira-kira 20 tahun ditangkap di stesen LRT Masjid Jamek. Angka penangkapan ini mencecah 50 orang. Polis dilaporkan sedang memeriksa bag penumpang LRT dan memberi amaran kepada orang ramai yang ingin menyertai perhimpunan agar tidak berbuat demikian.

Di SOGO, polis memberi amaran kepada orang ramai agar tidak menyertai perhimpunan. Dilaporkan juga seandainya lebih 5 orang berkumpul, polis akan terus menyerbu.

1125 Menurut seorang SB (special branch), tenaga polis dari Perak, Pahang, Negeri Sembilan dan Melaka telah dikerah untuk menggagalkan perhimpunan pada hari ini. Menurutnya, polis akan membuat sekatan di setiap hujung jalan untuk memastikan orang ramai gagal sampai ke Istana Negara.

1120 Dua orang lagi ditangkap di Pasar Seni. Angka penangkapan kini melonjak ke sekurang-kurang 45 orang!

1100 Wartawan merdekareview yang membuat liputan di Masjid Negara melaporkan, 5 atau 6 orang lelaki berkopiah telah ditangkap di Masjid Negara. Angka penangkapan melonjak ke sekurang-kurang 43 orang.

1059 Dua orang ditangkap di Pasar Seni, membuatkan angka penangkapan bertambah kepada 38.

1044 Menurut Suaram, 36 orang telah ditangkap, termasuk 13 orang unit amal dari Perak dan seorang dari Melaka. 14 orang yang ditangkap di KL Sentral ini kini ditahan di Ibu Pejabat Polis Kontijen Kuala Lumpur. Selain itu, 22 orang telah ditangkap Masjid Negara, dan dihantar ke IPD Cheras.

Senarai nama 13 orang unit amal.

1. Shahrul Iman Mohd Salleh
2. Ikhwan Ikram
3. Ahmad Adbul Wahab Abdul Rahman
4. Kamal Nadhir Kadeni
5. Abu Ubaidah Jalaluddin
6. Mohammad Sholihin Mat Salleh
7. Faizuddin Hazman Kadine
8. Saad Musa
9. Mohammad Helmi Hassan
10. Mohammad Hafizuddin Mohd Ghazali
11. Mohd Lokman Ahmad Mawi
12. Mohd Fadzil Jan Jam
13. Shamsul Anuar Nordin

0925 ADUN Teja, Perak Chang Lih Kang berjaya merentasi halangan polis selepas dihalang di Tapah. Beliau tetap tidak mahu ke balai polis. Setelah berunding dengan Ketua Bahagian Siasatan Jenayah IPD Tapah, beliau berjaya meneruskan perjalanan ke KL.

0830 Beberapa jalan raya utama ke arah Pusat Bandaraya Kuala Lumpur telah disekat. Jalan Syed Putra disekat di persimpangan jalan masuk ke Brickfield.

0820 ADUN Teja, Perak Chang Lih Kang dihalang di Tap ah dalam perjalanan ke Kuala Lumpur untuk menyertai perhimpunan menentang ISA. Polis menghalang Chang dengan alasan untuk menyiasat "buletin Gopeng" yang terdapat dalam kereta beliau.

0800 FRU dilihat berkumpul di bangunan Dewan Perhimpunan Cina KL-Selangor.

Laporan oleh Chang Teck Peng, Chan Wei See, Lim Hong Siang, Chan Shaua Fui, Wong Shu Qi, Saw Siao Fong, Chong Tain Tshung dan Loke Chiu Chee.


sumber dari MerdekaReview

1 comment:

Fitrah Manusia said...

ko kena ker time ni???