selamat meliwati laman ini

www.xesx.blogspot.com

Monday, February 02, 2009

Dua Adun KeADILan letak jawatan, pilihan raya kecil dalam masa 60 hari

KUALA LUMPUR, 1 Feb (Hrkh)- Dua Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perak dari KeADILan yang didakwa "hilang" dan "tidak dapat dihubungi" sejak lima hari lalu, telah meletakkan jawatan sebagai wakil rakyat berkuat kuasa hari ini dan pilihan raya kecil dijangka berlaku dalam masa 60 hari.

Kedua-dua Adun berkenaan ialah Jamaluddin Mat Radzi (Behrang) dan Mohd Osman Jailu (Changkat Jering).

Jamaluddin, 52, adalah Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Usahawan, Koperasi, Pertanian dan Perladangan manakala Osman, 57, pula pengerusi Jawatankuasa Pelancongan, Pembangunan Insan dan Pertubuhan Bukan Kerajaan.

Sebelum ini kedua-dua mereka menghadapi tuduhan rasuah melibatkan kelulusan sebuah projek pembangunan bernilai RM180 juta di Seri Iskandar dan perbicaraan kes berkenaan akan didengar di Mahkamah Sesyen pada 10 Februari ini.

Ia dinyatakan oleh Speaker Dewan Undangan Negeri Perak, V. Sivakumar di Ipoh pukul 5.45 petang tadi kepada mstar online dan kata beliau, kedua-dua mereka menghantar surat menggariskan keputusan itu menerusi faks yang dihantar ke rumahnya.

"Kedua-dua Mohd. Osman dan Jamaluddin meletakkan jawatan sebagai ADUN berkuat kuasa serta-merta dan saya menerima peletakan jawatan mereka di bawah Perkara XXXV Perlembagaan Negeri.

"Sebagai Speaker, saya akan mengumumkan kedua-dua kerusi N14 Changkat Jering dan N59 Behrang kosong secepat yang mungkin," kata beliau dalam satu kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Speaker akan memaklumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) secara rasmi esok.

Pakatan Rakyat mempunyai 32 anggota Dewan Undangan Negeri termasuk Adun Bota, Dato' Nasarudin Hashim yang menyertai KeADILan minggu lepas manakala BN dianggotai 27 wakil dan walaupun dua Adun KeADILan berkenaan keluar, kerajaan negeri masih mempunyai majoriti satu kerusi.

Menteri Besar Perak, Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin ketika dihubungi mStar Online berkata, pihaknya sudah dimaklumkan mengenai perkara itu dan akan meminta supaya Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) mengadakan pilihan raya.

"Sah kedua-dua mereka (ADUN) letak jawatan... saya telah dimaklumkan mengenainya sebentar tadi," katanya.- azm _


p/s: DAH MEMANG JIWA BEKAS UMNO !....DOBO PUNYA BEKAS ADUN PKR

No comments: